SERDANG – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap penganjuran edisi sulung Liga Besbol Kebangsaan 2023 menjadi titik permulaan kepada kejayaan lebih gemilang buat arena sukan itu.
Shapawi berkata, pihaknya melihat besbol sebagai satu bentuk sukan untuk semua (mass sport) yang berpotensi dipopularkan sehingga menjadi kompetitif tinggi seperti Major League Baseball (MLB) di Amerika Syarikat (AS).
“Kita harap liga ini akan berterusan sebagai platform untuk mempromosikan sukan besbol. Kita juga berharap ia menjadi satu titik tolak terbaik kepada perkembangan sukan besbol dalam negara.
“Kita alu-alukan apa saja sukan tertakluk penerimaannya di tahap antarabangsa jika dikendalikan satu badan sukan antarabangsa seperti OCA (Majlis Olimpik Asia), SEAGF (Persekutuan Sukan Asia Tenggara) dan Olimpik,” katanya.
Shapawi berkata demikian pada Majlis Perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini.
Turut sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden BFM, Sazali Husain.
Dalam masa sama, Shapawi turut menggalakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat menjadikan besbol sebagai salah satu sukan asas dalam kalangan pelajar universiti seperti diterapkan di AS.
“Pihak persekutuan (BFM) mencapai persefahaman dengan UPM kerana kita tiada padang besbol. Jadi ini adalah padang besbol pertama dalam negara dan saya harap UPM kekal dengan semangat untuk majukan sukan ini.
“Sekarang masih dalam perancangan antara UPM dan KBS (menaik taraf padang) dengan nasihat serta perancangan BFM bagaimana kita nak jadikan padang rasmi untuk sukan besbol,” jelasnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan besbol mampu dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada masa depan.
Saingan liga itu telah bermula sejak 10 Jun lalu dan dijalankan selama enam minggu pada setiap Sabtu dan Ahad yang disertai 184 orang peserta berusia 20 hingga 30 tahun.
Sebanyak lapan pasukan seperti Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mengambil bahagian pada edisi sulung ini. – KOSMO! ONLINE