LUMUT – UiTM menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Kelantan 3-2 dalam aksi penuh sengit di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini malam ini.
Gol pertama UiTM selaku tuan rumah diperolehi menerusi tandukan Muhamad Arif Mohamed Anwar yang menerima hantaran lintang Rabih Ataya dari sebelah kanan pada minit ke-12.
UiTM tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila tiga minit kemudian Muhamad Rafie Mat Yaacob pula mudah menolak masuk hamtaran leret Gustavo Almeida Dos Santos, juga dari sebelah kanan.
Pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan apabila Muhammad Danial Ashraf Abdullah merembat masuk hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-61.
Dua minit kemudian, Muhammad Danial Asyraf sekali lagi membocorkan gawang Uitm selepas menerima hantaran Mohamad Khairul Rizam Che Soh, sekali gus menyamakan kedudukan.
UiTM bagaimanapun kembali mendahului perlawanan pada minit ke-67 apabila Muhamad Arif melakukan sepakan gunting menerjah gawang lawan selepas menerima hantaran Rabih Ataya.
Terdahulu, pada minit ke-24, Kelantan berpeluang merapatkan kedudukan namun Nik Akif Syahiran Nik Mat mensesiakan hantaran Lazarus Kaimbi apabila merembat keluar ketika pintu gol lawan sudah ternganga.
UiTM turut berpeluang menambah jaringan pada minit ke-27 tetapi tendangan percuma Rabih Ataya sipi di penjuru kanan gawang lawan.
Lima minit kemudian, Kelantan sekali lagi berpeluang merapatkan kedudukan tetapi tendangan percuma Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni tepat ke tiang gol lawan di sebelah kiri.
Lima minit selepas babak kedua bermula, Kelantan mendapat tendangan percuma tetapi rembatan Muhamad Hakimi Abdullah menerjah palang gol.
Selepas UiTM kembali mendahului perlawanan, Kelantan menggandakan asakan termasuk memperoleh tiga sepakan sudut berturut-turut namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada 20 minit terakhir perlawanan namun gagal membolos gawang lawan masing-masing memastikan keputusan memihak tuan rumah kekal hingga wisel penamat. -K! ONLINE.