fbpx

18 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Amar (tengah) semasa merasmikan Program Melabuhkan Tukun Tiruan Konservasi di perairan Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

PASIR PUTEH – Jabatan Perikanan melabuhkan 18 tukun tiruan konservasi iaitu struktur binaan konkrit yang melibatkan peruntukan sebanyak RM660,000 di perairan Kelantan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sebanyak 11 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Tok Bali di sini hari ini manakala tujuh lagi di Kuala Besar, Kota Bharu esok.

Menurutnya, tukun-tukun tiruan yang mampu membina habitat ikan dan kehidupan marin itu dijangka mampu memberi manfaat kepada kira-kira 4,191 orang nelayan di negeri ini.

“Jabatan Perikanan Malaysia juga telah membelanjakan sebanyak RM3.6 juta bagi membina, melabuh dan memantau keberkesanan tukun tiruan di Kelantan sejak 2007 sehingga tahun ini.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 230 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di tujuh lokasi di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Melabuhkan Tukun Tiruan Konservasi yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di perairan Tok Bali di sini, hari ini.

Katanya, selain Kelantan, Jabatan Perikanan Malaysia akan melabuhkan sebanyak 41 tukun tiruan di empat buah negeri iaitu Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor membabitkan peruntukan sebanyak RM1.31 juta pada tahun ini.

“Aktiviti melabuhkan tukun tiruan konservasi di Kelantan dijangka akan dapat meningkatkan tangkapan ikan agar ia sentiasa mampan dan menjamin keterjaminan makanan negara.

“Berdasarkan kepada rekod Jabatan Perikanan, Kelantan mencatatkan pendaratan ikan sebanyak 23 ribu tan metrik dengan nilai borong RM244 juta sehingga Mei tahun ini. Bagi tahun lalu pula, pendaratan ikan direkodkan sebanyak 55 ribu tan metrik dengan nilai borong RM548 juta,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI