SEBERANG PERAI – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dijangka mampu menang dengan majoriti dua pertiga jika undi yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan dapat disatukan sepenuhnya.
Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, justeru, amat penting untuk kedua-dua pihak bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Walaupun banyak kali disebut apabila pembangkang (Perikatan Nasional atau PN) menang beberapa kerusi Parlimen (di Pulau Pinang) pada PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu, mereka juga akan menang beberapa kerusi lagi di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) selepas ini.
“Tapi, dalam hal ini, saya mahu meyakinkan jentera (PH-BN) bahawa jangkaan itu hanya berdasarkan kepada apa yang rakyat undi pada PRU sebelum ini sahaja.
“Pada masa itu, ada tiga gabungan (parti) yang besar untuk dapatkan sokongan rakyat iaitu PH, BN dan PN. Bagaimanapun, kali ini, kita akan hadapi PRN dengan gabungan baharu iaitu BN,” kata ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Bilik Gerakan Utama N17 Bukit Tengah malam tadi.-KOSMO! ONLINE