PARIS – Dua pelumba Moto2, Luca Marini dan Enea Bastianini akan menyertai pasukan Avintia Ducati menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2021 nanti.
Keputusan tersebut menyaksikan, Tito Rabat tidak akan berada di grid MotoGP musim depan dan mengakhiri karier selama lima tahun di kelas premier tersebut selepas bergelut dengan prestasinya.
Bastianini akan mengambil alih tempat pelumba Perancis, Johann Zarco yang akan menyertai pasukan Pramac musim depan. Difahamkan, kedua-dua pelumba berkenaan akan menggunakan jentera Ducati GP19 dan bukan jentera terbaharu.
“Impian untuk beraksi di kelas Premier MotoGP adalah impian setiap pelumba untuk ke saingan ini. Memiliki peluang ini adalah impian saya. Lebih menarik kami dapat bekerjasama dengan Sky Racing Team VR46, Esponsorama Racing dan Ducati musim depan.
“Saya mengumpulkan banyak pengalaman dan prestasi saya semakin baik. Meraih kemenangan adalah misi tahun ini dan kami akan bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang lebih baik selepas ini,” kata pelumba berusia 23 tahun tersebut.
Marini pula yang merupakan adik tiri kepada Valentino Rossi akan menggunakan sut perlumbaan SKY Racing Team VR46 setelah pasukan Itali itu menandatangani kerjasama dengan pasukan satelit Ducati itu.
Ini bermakna, Marini dan Bastianini akan mengenakan baju berbeza sekali gus dapat menyaksikan Akademi VR46 akan berada di grid perlumbaan 2021 nanti. – AGENSI