PETALING JAYA – Seorang lelaki bertindak memakan telur buaya yang digoreng kerana tidak mahu ia menetas.
Katanya yang menggunakan akaun TikTok @khairuljohari27, ruang di rumah untuk menjaga beberapa haiwan eksotik yang dipeliharanya sudah terhad dan tidak boleh menampung sekiranya muncul anak buaya baharu lagi.
“Tempat saya bukan zoo, saya bela haiwan sebab hobi, di rumah saya banyak haiwan lain juga bukan buaya semata-semata, dan ruang rumah saya agak sempit. Bukan saya sengaja tak nak menetaskan telur buaya itu, tapi sebabnya saya tak ada tempat.
“Lama saya menunggu buaya itu bertelur, tapi sebab saya dah bincang dengan isteri, kami kekurangan tempat untuk tambahan haiwan, jadi kami ambil keputusan untuk makan telur buaya itu,” terangnya menerusi satu perkongsian video di TikTok kelmarin.
Khairul turut mempunyai lebih 1,000 jenis spesies haiwan yang dipelihara dan diternak secara sendiri di rumah termasuk haiwan eksotik.
Terdahulu, Khairul berkongsi rakaman dia memakan telur buaya yang dikatakan mempunyai rasa tersendiri dan berbeza daripada telur ayam atau itik seperti kebiasaan orang makan.
Kongsinya, telur buaya terasa lebih kenyal dan berlemak.
“Bahagian kuning sedap, bahagian putih telur rasa lain macam sikit,” katanya sambil menunjukkan cara-cara isterinya menggoreng telur buaya tersebut.
Menerusi perkongsiannya itu, ramai teruja melihat dia menikmati telur goreng buaya dan ada yang mencadangkan agar dimasak pelbagai resepi masakan lain menggunakan bahan tersebut. – KOSMO! ONLINE