SHAH ALAM – Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan bahawa beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau mengambil keputusan itu bagi membantu Perikatan Nasional (PN) untuk menawan kesemua negeri yang terlibat dalam PRN pada 12 Ogos ini.
“Saya sokong PN kerana lihat Kerajaan Pusat sekarang ini caca marba, menyokong kleptokrasi dan fahaman liberal. Kita tak boleh biarkan hal ini dan ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan negara,” katanya selepas menghadiri program Bicara Bangsa di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.
Kata Zuraida, sekiranya PN dapat memenangi Selangor semestinya akan memberikan tekanan kepada Kerajaan Pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Tegas beliau, ini berikutan Selangor merupakan pusat ekonomi dan tunjang kepada negara.
“Oleh itu, saya menyeru kepimpinan PN supaya meletakkan calon yang berwibawa dan mampu buat kerja di Selangor. Mana tahu sekiranya PN menjadi Kerajaan Pusat kelak, PN boleh gunakan pemimpin ini untuk jadi pemimpin di peringkat Pusat,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE