KANGAR – Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan projek baharu dan menaik taraf infrastruktur sukan di negeri Perlis berjumlah RM14.1 juta.
Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd. Halim berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan projek naik taraf infrastruktur stadium utama Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra termasuk pembinaan trek balapan baharu bernilai RM8 juta.
“Di bawah projek sama, KBS juga meluluskan peruntukan untuk membina padang bola sepak sintetik di kompleks sukan berkenaan dengan nilai RM3.8 juta.
“Suka saya makluman, pembinaan infrastruktur padang bola sepak sintetik ini juga adalah padang sintetik yang pertama di Kangar,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis, di sini hari ini.
Menurut Adam, berikutan ramai anak muda Perlis meminati sukan ‘motorcross’ serta ‘cubcross’ serta bagi memastikan golongan belia terus mendapat manfaat, kerajaan bersetuju menaik taraf sebuah litar ‘motocross’ di negeri itu.
“Kerajaan menerusi KBS meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf Litar Motorcross Sungai Batu Pahat di Kangar sebagai pembakar semangat kepada golongan belia.
“Selain itu, saya juga yakin anak muda tidak sabar menantikan pembukaan semula Kompleks Kolam Renang Negeri Perlis yang telah ditutup untuk kerja naik taraf lebih setahun lalu melalui peruntukan yang disediakan KBS sebanyak RM1.9 juta,” katanya.
Tambahnya, kompleks renang itu dijangka dibuka semula pada Ogos depan untuk kegunaan orang awam dan KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan negeri bersetuju memberikan peluang warga Perlis menggunakan infrastruktur itu secara percuma untuk tempoh dua minggu. – KOSMO! ONLINE