CHANGLUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha menaik taraf klinik kesihatan serta sekolah daif di negara ini demi meningkatkan mutu kesihatan dan pendidikan negara.
Kata beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion sepanjang tahun ini untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut termasuk di Kedah.
“Tahun ini juga RM1.4 bilion selesaikan semua iaitu baiki tandas, bumbung dan dinding sekolah daif) yang mana JKR (Jabatan Kerja Raya) buat, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) buat tetapi jangan bagi tahu saya tak boleh baiki tandas di semua sekolah di negara kita termasuk di negeri Kedah.
“Di daerah Kubang Pasu kalau ada sekolah tandas yang tak dibaiki, perlukan peruntukan lagi, beritahu pejabat daerah dan pejabat daerah boleh hubungi saya, tak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini.
“Apa jenis negara, apa dia hidup di Malaysia, hidup negara Islam tetapi tandas sekolah tak baiki,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun, di sini hari ini.
Berucap lanjut katanya, di Kedah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.1 juta bagi pembaikan 40 klinik dan enam sekolah daif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Manakala, khusus bagi daerah Kubang Pasu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak
RM1.25 juta bagi kerja-kerja pembaikan empat klinik dan RM300,000 diperuntukkan bagi pembaikan sebuah sekolah daif.
Kata beliau, bagi usaha menegakkan syiar Islam katanya, Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan bagi pembinaan Masjid Changlun itu yang kini menelan kos RM5.7 juta.
Anwar turut mengulangi pendirian Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan membantu 130,000 ketua isi rumah (KIR) keluar daripada permasalahan itu pada hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE