SEREMBAN – Kerajaan membelanjakan sebanyak RM 4.9 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis di negara ini dan kos berkenaan dapat dikurangkan sekiranya masyarakat dapat diberikan pendidikan kesihatan dengan baik sejak dari awal lagi.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sejajar dengan itu, kementeriannya dengan kerjasama Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) bakal melaksanakan kajian membabitkan pesakit diabetis Jenis 2 di Seremban yang mana kajian berkenaan dijangka mengambil masa sekitar 10 hingga 12 tahun.
Menurutnya, kajian kohort berkenaan merupakan kohort pertama yang menumpukan kepada pesakit diabetis di negara ini khususnya pesakit kencing manis jenis dua (T2DM).
“Kajian ini akan melihat bagaimana faktor-faktor penyebab kepada kencing manis memberi kesan dari segi keluarga, ekonomi, persekitaran dan sebagainya. Penyakit kencing manis ini mampu memberi komplikasi yang pelbagai seperti komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang ke atas pesakit.
“Tentunya pesakit kencing manis ini akan memberi kesan kepada KKM yang memerlukan rawatan. Bagi saya kajian ini dapat melihat intervensi-intervensi yang boleh dilakukan terhadap pesakit dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan (KPM), di universiti untuk mengelak lebih ramai penduduk berdepan penyakit kencing manis,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran MOH-IMU Seremban Diabetes (SeDia) Cohort Study di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pengerusi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Health Sdn. Bhd.
Untuk rekod, satu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Malaysia dan IMU dalam projek SeDia telah ditandatangani pada 17 Mei 2022 yang lalu. – KOSMO! ONLINE