Di sebalik raut wajah yang manis dan badan kecil molek, gadis Pesona Ahad minggu ini menyimpan cita-cita mahu bergelar pakar bedah suatu hari nanti.
Diyanah Ruqaiyah Zulfahmy, 23, yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mahu mengikut jejak langkah ibunya yang juga pakar perubatan keluarga berkhidmat kepada orang ramai.
Biarpun bidang perubatan dibelenggu isu doktor kontrak, namun anak sulung daripada tiga beradik mesra dipanggil Dian ini positif mengenai impiannya.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis ini berkongsi mengenai kehidupannya.
Kosmo! Ahad: Tentang diri Dian?
Dian: Selepas tamat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, saya sambung pengajian dalam program Asasi Sains Hayat pada 2018. Saya suka main bola tampar dan merupakan atlet sekolah. Waktu lapang, Dian suka buat kek dan bermain piano di samping menyimpan 20 jenis pokok dalam bilik sebagai koleksi dan hobi yang terapeutik (menenangkan fikiran).
Bagaimana bermulanya sebagai pempengaruh?
Pada 2019, saya terpilih menjadi salah seorang duta kesihatan awam oleh Asian Medical Students Association (AMSA) Malaysia. Dian diminta menyebarkan kesedaran dan mengembangkan ilmu tentang perubatan kepada umum. Dari sini kerjaya sebagai content creator berkembang dan menariknya dapat buat duit tepi.
Perancangan kerjaya Dian?
Selepas graduasi dan latihan perubatan selama dua tahun, saya akan memohon jawatan pegawai perubatan di Malaysian Medical Council (MMC).
Menjadi pakar bedah impian saya sejak bergelar pelajar perubatan, tugas yang berat dan perlu sentiasa bersedia kerana nyawa orang lain ditangan kami.
Cabaran sebagai pelajar perubatan?
Cabaran terbesar adalah masa. Biasanya saya mengambil masa empat hingga enam jam belajar satu subjek. Ketika peperiksaan saya hanya tidur dua jam semata-mata untuk mengulangkaji topik yang ada. Masa sangat ‘pack’ jadi pandai-pandailah.
Pasangan hidup dicari?
Lelaki yang bijak, romantik, bercita-cita tinggi, suka bergurau dan mempunyai pengetahuan mengenai politik dan agama.
Menarik tentang Dian?
Boleh habiskan masa berjam-jam kemas rumah, pastikan bilik dan persekitaran rumah termasuk kereta dalam keadaan yang sangat bersih. Saya cuci bilik air hampir setiap hari.
Boleh kongsi rahsia kecantikan?
Tidak pernah ‘skip’ penjagaan muka. Saya juga akan ke salun untuk membuat rawatan rambut, kuku dan bulu mata. Selain itu, waktu lapang yang lain Dian akan lakukan aktiviti luar selain seorang yang mementingkan fesyen!