LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard terkejut dengan kecemerlangan prestasi dipamerkan Hakim Ziyech yang muncul nadi utama dalam kemenangan 4-1 ke atas Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Lampard, 42, tidak menjangka bintang baharunya itu dapat mengekalkan momentum cemerlang apabila diturunkan beraksi dalam setiap perlawanannya selepas berhijrah daripada Ajax dengan yuran perpindahan bernilai €44 juta (RM215.7 juta) musim ini.
“Saya tahu bahawa Ziyech adalah pemain berkelas dunia kerana pernah beberapa kali bertembung dengan Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara sebelum ini.
“Saya semakin teruja melihat prestasinya sewaktu latihan dan dalam perlawanan sebenar. Dia mempunyai kemampuan yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan sebenar saya.
“Saya percaya dia akan menjadi pemain penting buat kami dan saya harap kecemerlangan ini bakal menguntungkan Chelsea,” kata Lampard.
Walaupun gagal mencetak nama selaku penjaring gol tetapi Ziyech, 27, berjaya mencipta dua gerakan jaringan buat rakan-rakan sepasukannya dalam aksi menentang Sheffield itu.
Empat gol Chelsea dalam aksi itu dijaringkan Tammy Abraham, Ben Chilwell, Thiago Silva dan Timo Werner, manakala jaringan tunggal Sheffield diperoleh menerusi David McGoldrick.
Kemenangan itu melonjakkan Chelsea ke tangga ketiga EPL dengan 15 mata daripada lapan perlawanan setakat ini dan kini ketinggalan satu mata sahaja dengan pendahulu liga, Southampton yang menewaskan Newcastle pada aksi awal pagi Sabtu lalu. – AGENSI