NEW YORK – Kehangatan bola sepak melanda warga Amerika Syarikat ketika ini biarpun bintang sensasi dunia, Lionel Messi masih belum diumumkan secara rasmi menjadi pemain Inter Miami.
Di New York yang memiliki jarak kira-kira 2,100 kilometer dari ‘rumah baharu’ Messi di Florida, gedung utama Adidas telah ditampal dengan wajah-wajah kapten Argentina tersebut dengan slogan ‘Impossible Is Nothing’.
Melalui sekeping gambar yang disiarkan oleh DailyMail.com, sebahagian besar kedai-kedai yang menjual jenama berkenaan telah dipasang poster pemain berkenaan yang mengenakan jersi lengkap pasukan Inter Miami.
Bagaimanapun, gambar berkenaan dipercayai menggunakan teknik ‘superimpose’ kerana masih belum ada pendedahan rasmi sama ada oleh kelab atau pihak Messi sendiri yang menyiarkan gambarnya mengenakan jersi berkenaan.
Menurut sumber, Messi akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Inter Miami sedikit masa lagi pada bulan ini dan dipercayai ketika mereka turun menentang kelab dari Mexico, Crul Azul pada 21 Julai nanti pada aksi persahabatan.
Perpindahan Messi ke Liga Bola Sepak Major (MLS) memberikan impak yang cukup besar terutama kepada Inter Miami apabila selepas 24 jam pengumumannya menyertai kelab itu, pengikut di laman Twitter kelab meningkat hampir 5 juta orang, malah sehingga kini jumlah berkenaan sudah menjadi 9 juta orang.
Selain Messi, beberapa nama pemain berprofil tinggi lain seperti Sergio Busquet, Sergio Ramos, Jordi Alba dan Luis Suarez turut dikaitkan dengan perpindahan menyertai Inter Miami. – AGENSI