fbpx

Apa gila cakap begitu – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK tahan dibuli secara bertubi-tubi seolah-olah sengaja mahu menjatuhkan nama dan perniagaannya, Shuib bertindak mahu mengheret pemfitnah siber ke muka pengadilan.

ENGGAN berdiam apabila perniagaan yang diusahakan dengan keringat dan air mata turut dikaitkan dengan agenda Freemason, pelawak juga usahawan itu berasa harus bersuara bagi mengelakkan fitnah daripada terus bertebaran.

Menurut Shuib, perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun dengan keuntungan jualan meraih sebanyak RM15 juta itu bukan satu pencapaian yang boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya.

Semakin dia berdiam, bertambah rancak tohmahan berlegar sehingga ada individu berani memfitnah kejayaan itu adalah hasil biaya pertubuhan tertutup tersebut.

Tidak kurang yang tergamak membuat fitnah lain seolah-olah pemilik nama penuh Shahmira Muhammad digunakan pihak tertentu.

“Saya bersyukur sangat dengan rezeki kurniaan Allah yang dapat saya kongsikan dengan anak bangsa kita menerusi peluang pekerjaan, gaji berpatutan dan halal.

“Kejayaan ini adalah berkat sokongan orang ramai walaupun ada individu mendakwa dana perniagaan ini dilaburkan pertubuhan Freemason. Apa gila cakap begitu,” katanya dalam pertemuan dengan media, baru-baru ini.

Perjumpaan tersebut juga adalah detiknya bersemuka dengan seorang pekerja swasta, Zuhairi Abu Othman, 35, yang membuat tuduhan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin juga ada kaitan dengan dakyah pertubuhan tersebut.

Begitupun, dalam pertemuan hampir sejam di premis perniagaannya di Cheras, segala kemelut berakhir dengan baik apabila Shuib menerima permohonan maaf Zuhairi.

Menyelak semula fitnah disebarkan, akui Shuib kata-kata seperti ‘ala dia bukan kaya-raya pun sebab hasil jualan tidak seberapa dan buka banyak cawangan’, itu semua disifatkan sebagai melukakan.

Malah ketegasan membawa pemfitnah ke muka pengadilan sebagai peringatan kepada individu terlibat, selain turut membantu rakan artis lain yang kerap dituduh isu hampir sama.

Ungkap ahli perniagaan berusia 39 tahun itu, sesuatu yang tidak masuk akal apabila mengaitkannya dengan beberapa selebriti dengan pertubuhan yang hakikatnya lebih tertumpu kepada jutawan global.

“Tentu pelik orang macam saya ini tiba-tiba Freemason nak laburkan duit. Kita cari duit susah pagi petang siang dan malam, tiba-tiba orang tuduh kita pengikut Freemason. Kita bukan artis Hollywood.

“Kalau saya macam itu tak perlu kerja lagi (atau) jadi penyampai radio. Patut sekarang ini relaks saja duduk atas kapal layar sambil bercuti,” tambahnya.

Berikutan itu, Shuib turut menegaskan mana-mana pihak supaya berhenti daripada terus menaburkan fitnah atau sila ke depan untuk berdepan tindakan undang-undang.

Menerusi akaun media sosialnya, dia turut menyeru sesiapa yang ternampak hantaran atau status fitnah serupa supaya memaklumkan perkara tersebut.

“Berhentilah memfitnah terutama dengan menggunakan penulisan di media sosial atau menyebarkan perkara tidak benar. Berhati-hati memuat naik hantaran,” tambahnya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu tidak ketinggalan meminta maaf andai pernah mengguris perasaan orang lain menerusi hantaran dalam media sosial.

“Saya pun banyak khilaf, tetapi rasanya permainan media sosial yang melampau seperti ini perlu segera dihentikan apatah lagi ramai artis lain turut dipetik kononnya terbabit dengan Freemason,” katanya.

Terdahulu, selain Zuhairi, Shuib mengakui kini dalam proses meneruskan tuntutan sama ke atas pengguna akaun bernama John Dihani yang menyebarkan fitnah berkaitan pemergian penyanyi Siti Sarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI