PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Perdana Menteri yang mendakwa beliau tidak melupuskan hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.
Malah kata Muhyiddin, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai satu pembohongan besar kerana pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021.
“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Muhyiddin, mantan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh juga telah membuat kenyataan pada 24 Februari lalu bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.
“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim.
“Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,” tegasnya.
Terdahulu, Anwar dalam upacannya pada Sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mendedahkan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.
Menurut beliau, kerajaan PN hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.-KOSMO! ONLINE