PETALING JAYA – Seorang bayi disahkan meninggal dunia selepas tersedak susu sewaktu menggunakan alat pemegang botol susu pada musim raya baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook yang menceritakan kisah rakannya terpaksa menanggung penyesalan apabila bayinya maut sewaktu dibiarkan minum susu secara sendiri menggunakan alat pemegang botol susu.
“Ini la punca (guna alat pemegang botol susu) kawan pejabat saya anaknya meninggal dunia. Masa itu raya sibuk beraya tak perasan anak dah tak ada (meninggal dunia). Hasil bedah siasat tersedak susu dan asbab kehilangan anak ini mereka (suami isteri) saling menyalahkan dan berakhir dengan perpisahan,” kongsinya.
Sementara itu, seorang Kaunselor Laktasi, Nad Masrom menerusi hantaran video di TikToknya memberi peringatan supaya ibu bapa di luar sana tidak menggunakan alat pemegang botol sewaktu menyusu anak-anak tanpa pemantauan rapi.
Katanya, seorang bayi terutamanya berusia tiga bulan dan kebawah belum mempunyai kemampuan pergerakan badan secara sendiri dan pastinya risiko untuk anak itu tersedak susu adalah tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.
“Alat inovasi yang boleh membunuh bayi. Alat pemegang botol susu ini tidak patut dibeli oleh ibu bapa.
“Bayi berusia dua tiga bulan ini kebiasaannya bayi masih lagi tak boleh nak mengelakkan situasi tersedak susu itu kalau berlaku,” ujarnya.
Tegas kaunselor itu lagi, sekiranya ibu bapa hanya mahu mencari jalan mudah untuk menjaga dan membesarkan anak-anak, ia adalah satu tindakan yang salah.
“Katakan tidak kepada alat pemegang botol. Kalau rasa nak senang jadi mak, lebih baik jangan jadi mak. Risiko untuk bayi tersedak susu dan lemas, fikir dulu sebelum beli,” pesannya. – KOSMO! ONLINE