fbpx

Cabaran ibu bekerja dalam norma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SITUASI semasa penularan Co­vid-19 di negara ini yang menunjukkan peningkatan saban hari memerlukan kerajaan melakukan pelbagai langkah untuk memutuskan rantaian pandemik itu.

Antaranya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis selama empat minggu mulai hari ini.

Arahan bekerja di rumah bagi mereka yang bertugas di kawasan zon merah turut dilaksa­nakan melibatkan seramai 776,135 pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan.

Selain itu, kerajaan hanya membenarkan maksimum 10 peratus daripada keseluruhan pekerja yang hadir ke pejabat merangkumi tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, pe­rancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Sejak arahan bekerja dari rumah itu dilaksanakan, pelbagai reaksi dikongsikan oleh netizen yang majoritinya menyambut baik perkara tersebut.

Masing-masing mengatakan, ia menjimatkan perbelanjaan minyak kereta, tidak perlu mengharungi jalan raya yang sesak, masa bekerja fleksibel dan pa­ling penting mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Pada masa sama, turut dimuat naik video mencuit hati mengenai cabaran mak-mak yang be­kerja di rumah dengan kerenah anak-anak.

Ada ibu yang mengatakan, dia hanya dapat memberi fokus maksimum dua jam sahaja ke­rana terpaksa melayan ragam anak-anak di rumah.

Masing-masing ibu dan anak itu masih belum dapat membiasakan diri dengan normal baharu bekerja di rumah.

Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi dan Kese­jahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor, wanita memikul bebanan yang sangat besar untuk memenuhi keperluan majikan, anak-anak serta suami.

“Sehubungan itu, mereka perlu bersiap sedia fizikal dan mental serta membuat perancangan awal agar segala urusan berjalan lancar.

“Apatah lagi, pada ketika ini ada sebahagian mereka perlu bekerja di rumah yang memerlukan si ibu fokus menyiapkan urusan kerja dan pada masa sama melayan kerenah anak-anak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, menguruskan anak-anak bukan tugas yang mudah kerana mempunyai kerenah berbeza dan tidak sama setiap hari.

Jelas Hilwa, adalah penting untuk berkomunikasi dengan anak-anak supaya mereka faham akan kerja yang perlu dilunaskan oleh ibu dan memberi ruang menyiapkan tugasan tersebut tanpa gangguan.

“Sehubungan itu, sokongan daripada keluarga dan suami adalah penting supaya para ibu tidak keletihan fizikal serta emosi.

“Ibu-ibu juga dinasihatkan jangan terlalu mengejar kerja sehingga mengabaikan kesihatan diri sebaliknya, mengambil masa berehat seketika untuk menenangkan minda,” ulas ibu kepada enam orang cahaya mata itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI