SEREMBAN – Skim gaji perkhidmatan awam akan disemak semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi memastikan penjawat awam menerima gaji dan upah yang setimpal dengan kerja keras mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu tempoh agak lama.
Menurut Anwar, gaji penjawat awam paling akhir dinilai pada 2013 iaitu sudah 10 tahun dan perkara itu telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
“Kita akan memulakan pasukan untuk mengkaji dan saya bersetuju (dengan syor berkenaan).
“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan (skim gaji penjawat awam),” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan itu wajar dibuat selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah.
Anwar bagaimanapun, tidak menetapkan jangka masa khusus bagi perbincangan itu mahu pun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan kerana masih di peringkat awal.
Menurut Anwar, beliau berjanji untuk menaikkan gaji penjawat awam sebaik sahaja ekonomi negara kembali stabil dalam tempoh setahun.
“Sebaik sahaja ekonomi kita dalam setahun ini bertambah baik saya akan berikan keutamaan supaya upah dan gaji penjawat awam itu setimpal dgn gaji mereka,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah memperuntukkan peruntukan tambahan RM200 juta tahun ini bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah Rumah Angkatan Tentera di seluruh negara.
Menurut Anwar, kerajaan mendapati mendapati kebanyakan perumahan tentera sedia ada berada dalam keadaan teruk.
“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru- baru ini beritahu kepada saya, pandangan kita lihat kedudukan perumahan tentera sangat teruk dan terbiar sekian lama.
“Saya luluskan peruntukan segera tahun ini untuk perbaiki rumah tentera di seluruh negara sebanyak RM200 juta dan esok saya akan umum peruntukan tambahan untuk rumah polis,” katanya.
Pada Februari lalu, kerajaan menyediakan lebih RM500 juta untuk menyelenggara Rumah Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri. – KOSMO! ONLINE