MIRI – Kegiatan sindiket penyeludupan rokok di sini terbongkar apabila polis menjumpai pelbagai jenis rokok, hasil penahanan ke atas sebuah lori kargo di Jalan Kuala Baram Bypass.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak semasa menjalankan Op Kontraban kira-kira pukul 9.40 malam Rabu lalu.
“Pemeriksaan terhadap lori terbabit menjumpai pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak bercukai.
“Pasukan operasi kemudian merampas kesemua rokok termasuk lori terbabit, dengan keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM7.83 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah pihak polis turut membuat tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 30-an dan 40-an.
Mohd Azman berkata, kesemua rampasan dan tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan selanjutnya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Alta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.
Selain itu boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE