MANCHESTER – Pengarah Bola Sepak Manchester United, John Murtough menganggap mereka berjaya mendapatkan seorang pemain serba lengkap selepas ‘mendaratkan’ pemain tengah Chelsea, Mason Mount di Old Trafford.
Pemain antarabangsa England itu melengkapkan perpindahan ke United Isnin lalu selepas kedua-dua pasukan mencapai persetujuan dengan yuran perpindahan mencecah £60 juta (RM354.92 juta).
Memandangkan pengurus, Erik ten Hag sedia memperkasakan posisi tengah pasukan menjelang saingan musim baharu, Murtough percaya Mount dapat memberikan kelebihan dari segi teknikal dan pengalaman kepada The Red Devils.
“Gaya permainan serta kebolehan yang ada pada Mount akan membantu dia menyesuaikan diri dengan pasukan. Kami juga yakin dia akan terus meningkat di bawah Ten Hag dan barisan kejurulatihan United.
“Mount boleh dianggap sebagai pemain berkelas dunia dan memiliki kemampuan untuk membantu pemain-pemain lain menerusi kepintaran yang ada. Dia juga bijak menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengharapkan pengalaman luas dimiliki Mount ketika dia membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara selain menjadi Pemain Terbaik Tahunan The Blues sebanyak dua kali.
“Kami gembira kerana dia menunjukkan kemahuan tinggi untuk menyertai United. Dia seorang pemain yang sangat dahagakan kejayaan, jadi kami mahu dia membantu United mencabar kejuaraan untuk musim depan,” ujar Murtough. – AGENSI