fbpx

Mahkamah: Yasin layak dibicara semua pertuduhan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman disahkan tidak waras ketika kejadian, namun layak dibicara atas tiga pertuduhan kes dadah.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin pada sebutan laporan psikiatri Yasin di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad.

Menurutnya, meskipun layak dibicara, terdapat tiga kesimpulan hasil pemeriksaan psikiatri itu yang mana Yasin mengalami bipolar disorder atau keceleruan efektif, hypertiroidisme, selain tidak waras sewaktu  kejadian berlaku.

“Bagaimanapun keadaan mental (Yasin) bertambah baik dan tertuduh layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” kata Ahmad Zuhaini.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan satu tarikh sebutan sebelum perbicaraan diteruskan.

Peguam Ariff Azami Hussein berkata, beliau percaya perbicaraan boleh diteruskan memandangkan dua laporan psikiatri adalah mustahak iaitu anak guamnya tidak waras dan layak dibicarakan.

“Bagaimanapun, perbicaraan secara formal mengikut Bab 33 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) perlu dilakukan supaya akhirnya satu perintah di bawah Seksyen 347 KTJ iaitu penghakiman pembebasan atas alasan gangguan mental dapat dikeluarkan.

“Perintah akhir di bawah Seksyen 348 KTJ yang mana pesakit dihantar semula untuk diubati hingga diperakui sihat oleh lembaga perubatan,” katanya dan memohon tarikh perbicaraan singkat.

Hakim Nik Nasimah kemudian menetapkan 9 Ogos ini bagi sebutan semula kes serta 28 dan 29 Ogos ini bagi perbicaraan.

Semasa prosiding, Yasin yang memakai baju berwarna hitam kelihatan berisi berbanding keadaan fizikalnya pada prosiding sebelum ini.

Sebelum ini, Yasin diperintah ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Nik Nasimah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 15 Mac lalu, Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiga untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi. Ini berikutan Jabatan Peguam Negara menolak permohonan yang dikemukakan Yasin berhubung tiga pertuduhan tersebut.

Yasin didakwa dalam milikannya dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022. Lelaki itu juga didakwa menanam 17 pokok kanabis.

Penyanyi itu juga berdepan tuduhan mengambil dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI