LONDON – Lily muncul nama bayi perempuan paling popular bagi tahun 2023 dengan Muhammad mengekalkan kedudukan di tempat pertama untuk kategori bayi lelaki, sama seperti tahun lepas, lapor akhbar Metro UK semalam.
Senarai tahunan dikeluarkan laman kehamilan, kelahiran dan keibubapaan Britain, BabyCentre itu turut mendapati nama-nama seperti Amelia, Freya dan Aria kini semakin popular.
Sementara itu, Layla, Maryam, Evelyn dan Aurora turut mencatatkan peningkatan besar dalam populariti kategori nama bayi perempuan.
Selain Lily, nama Sophia berada di tempat kedua, diikuti oleh Olivia, Amelia, Freya, Aria, Ava, Isabella, Isla dan Mila dalam senarai 10 teratas.
Nama baharu yang memasuki senarai 100 nama bayi perempuan popular ialah Ayzal, Sarah, Lyra, Delilah, Hazel, Riley, Clara, Niamh, Ariella, Ophelia, Zahra, Athena, Cora dan Amelie.
Sementara itu, bagi bayi lelaki, senarai lima teratas tidak berubah seperti tahun lepas iaitu Muhammad, Noah, Theo, Leo dan Oliver yang kekal nama paling popular.
Nama baharu yang memasuki senarai bagi kategori bayi lelaki ialah Ahmed, Mateo, Musa, Sam, Austin, Cody, Hamza, Frankie, Harvey, Felix, John, Eddie, Elias, Jake dan Junior. – AGENSI