JAKARTA – Seorang jemaah haji wanita dari Makassar, Sulawesi Selatan bernama Ummi nekad memakai 15 lapis pakaian ketika hendak pulang ke Indonesia semalam, lapor laman berita Kompas.
Bukan itu sahaja, dia dikatakan turut memakai lima lapis seluar supaya kapasiti bagasinya tidak berlebihan.
Video itu tersebar di media sosial khususnya dalam kumpulan perbualan WhatsApp dan TikTok.
Dalam video tersebut, Ummi mengaku dia berbuat demikian demi membawa pulang cederahati pakaian dari Tanah Suci untuk keluarganya.
“Biarlah saya sengsara begini (berlapis-lapis) yang penting orang di rumah suka dapat cenderahati,” katanya.
Video itu dirakam ketika Ummi masih berada di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah dan bersiap untuk pulang ke Indonesia.
Kelihatan dua orang rakannya dari kumpulan pertama jemaah haji Indonesia sedang mengira pakaian yang dipakai Ummi sambil ketawa. – Agensi