fbpx

Projek perumahan ‘sakit’ dijangka meningkat cecah angka 1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL NASRULLAH (dua dari kanan) meninjau projek perumahan yang lewat untuk diduduki ketika melawat Residensi Larkin Indah, Johor Bahru hari ini.- Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan projek perumahan ‘sakit’ seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan unjuran statistik itu berlaku ekoran berakhirnya Akta Covid yang memberi pengecualian ‘extension of time’ (EOT) kepada pemaju pada tempoh pandemik Covid-19 yang lalu.

“Kita jangkakan (projek sakit) akan berlaku peningkatan secara mendadak susulan pasca Covid-19 yang mana apabila EOT berakhir awal tahun ini.

“Melihat unjuran yang dibuat setiap bulan, kita lihat ada anggaran (projek) yang masih ‘sihat’ mungkin akan jatuh sakit.

“Sekiranya tidak dipantau rapat, projek sakit ini boleh melangkaui 1,000 tahun ini, jadi itulah cabaran kita hadapi untuk meredakan keadaan, bukan sahaja untuk menyiapkan atau melancarkan projek, tetapi kita bertarung untuk kekang projek yang ‘sihat’ akan jatuh sakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke projek sakit di Residensi Larkin Indah di sini, hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, sehingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit dengan 118 daripada jumlah itu sudah di dalam usaha untuk diselesaikan.

Ujarnya, penubuhan pasukan khas (task force) KPKT bukan sahaja untuk menyiapkan projek yang berstatus ‘sakit’ termasuk terbengkalai dan lewat siap malah untuk mengekang peningkatan sakit berkenaan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihaknya berharap usaha kementerian menyelesaikan masalah projek sakit mendapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri.

“Ada negeri yang sudah ada ‘task force’ seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, jadi kita di kementerian ini akan pantau, urusan kelulusan atau tanah dan sebagainya itu semua di peringkat negeri.

“Contoh di Kelantan, apabila kita tinjau projek sakit di sana, kita dapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri dan mereka setuju untuk wujudkan ‘task force’ juga.

“Jadi, di peringkat ‘task force’ ini akan teliti lebih mendalam untuk pastikan yang mana projek sakit yang tunjuk kemajuan atau projek ‘sihat’ yang mungkin jatuh sakit atau projek sakit yang kritikal,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI