fbpx

Abang dia mula meracau selepas dibuli di sekolah – Bapa mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Najli bersama anak-anaknya sewaktu bercuti pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

MELAKA – Bapa remaja 14 tahun yang mencekik adik lelakinya sehingga mati di Kampung Bukit Piatu di sini semalam mendakwa anak sulungnya itu mengalami trauma akibat dibuli dan mula meracau sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia sembilan tahun yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik maut di lokasi dengan kecederaan di muka, hidung dan leher.

Menurut Najli Yakob, 42, sebelum kejadian, dia dan isterinya pernah dicekik beberapa kali sebelum ini.

Pasangan suami isteri tersebut pernah membawa remaja berkenaan menjalani rawatan kesihatan termasuk perubatan Islam.

Menurutnya, sikap suspek mula berubah selepas mendakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah Arab di Alor Gajah sejak tahun lalu. Perkara itu kemudian dilaporkan kepada pihak sekolah selain membuat laporan polis.

“Saya pernah jemput dia dari sekolah dan setelah beberapa jam berada di rumah dia seperti naik gila apabila tiba-tiba melaungkan zikir Subhanallah dengan kuat berulang kali dalam keadaan mata terbeliak.

“Kemudian dia terkam dan cekik saya, memang umurnya 14 tahun tetapi tenaga dia seperti orang dewasa. Isteri saya juga beritahu pernah dicekik di dapur dan memang susah nak lepas mujur adik-adiknya datang.

“Kita orang tua, kalau dicekik masih boleh melawan, tetapi budak memang susah. Saya tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memang dia (mangsa) tidak boleh (melawan). Kejadian berlaku dalam tiga minit,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, malam tadi.

Tambahnya, susulan kejadian itu, dia membawa anak sulungnya mendapatkan rawatan dan remaja tersebut menunjukkan perkembangan positif sejak hujung bulan lalu.

Jelasnya, remaja itu mengadu pernah dibuli dua rakan senior termasuk dicekik ketika tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but.

“Dia mula dibuli sejak tingkatan satu, namun dipendam sehingga makin memburuk pada tahun ini. Dia kerap menelefon ibunya mengadu, awalnya saya ingat ia suasana biasa tinggal di asrama, tetapi bila ada kesan kecederaan saya lapor kepada pihak sekolah.

“Bagaimanapun tiada tindakan sewajarnya diambil terhadap dua pelajar itu. Sejak sikap anak berubah, saya biarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu,” katanya.

Mengulas lanjut tragedi menyayat hati itu, Najli memberitahu, ketika kejadian, dia berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya yang bekerja sebagai jururawat bertugas di Hospital Melaka.

Jelasnya, mangsa terpaksa tinggal berdua dengan abangnya di rumah kerana sakit mata sejak kelmarin, menakala seorang lagi anaknya berusia 12 tahun bersekolah. Anak bongsu berusia 4 tahun pula dijaga pengasuh.

“Saya dan isteri sentiasa pantau CCTV dan bila saya tengok rakaman dia (suspek) mula membuka kain (pelekat) di depan pintu rumah dan hanya memakai baju serta seluar dalam, saya dah dapat rasakan sesuatu tidak kena.

“Kemudian dia lari dan cekik adiknya, dari atas sofa bergelut sampai jatuh ke lantai. Dia tumbuk berkali-kali pipi kanan dan kiri sambil menjerit Subhanallah, sampai adiknya tidak bernyawa,” katanya pilu.

Kali terakhir mereka sekeluarga meluangkan masa bersama pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan lelaki itu sempat membawa anak-anaknya berjalan-jalan di Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI