fbpx

Pegawai APMM cedera parah ditetak nelayan Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang Nelayan Vietnam yang cedera selepas menyerang pegawai APMM dibawa menerima rawatan ke HTAA, Kuantan, Pahang hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat dalam operasi menahan sebuah bot nelayan Vietnam cedera parah diserang salah seorang nelayan asing itu di perairan Terengganu hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, yang berpangkat Leftenan Muda Maritim cedera pada bahagian kepala akibat ditetak nelayan Vietnam terbabit.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd. Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama 17 kru Kapal Maritim (KM) Gemia telah menahan bot nelayan mencurigakan tersebut pada kedudukan 148 batu nautika dari Perairan Kuala Terengganu.

“Sewaktu pemeriksaan sedang dilakukan tiba-tiba seorang awak-awak bot nelayan itu bertindak agresif menetak kepala mangsa.

“Pergelutan berlaku sehingga menyebabkan tekong bot itu dan seorang nelayan masing-masing cedera pada bahagian paha dan kepala,” katanya di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata, dua lagi awak-awak pula cedera masing-masing pada bahagian lengan kiri dan paha kiri serta paha kanan akibat terkena tembakan.

Tambah beliau, pasukan penguat kuasa APMM kemudian dapat mengawal keadaan sebelum menahan kesemua 16 kru bot nelayan Vietnam terbabit.

“Kesemua mangsa yang cedera termasuk Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang dengan menaiki helikopter,” katanya.

Khairul Anuar berkata, kesemua nelayan Vietnam terbabit disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan perjalanan serta permit kerja sah. Bot juga tiada lesen menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI