fbpx

Jepun dibenar lepas air sisa radioaktif ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dari udara menunjukkan loji jana kuasa nuklear Fukushima dilanda tsunami pada 11 Mac 2011 sehingga mencetuskan bencana. - AFP

TOKYO – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) meluluskan rancangan Jepun untuk melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji jana kuasa nuklear Fukushima ke lautan, selepas menjalankan semakan keselamatan selama dua tahun, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Ketua Pengarah badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut, Rafael Grossi mengeluarkan laporan keselamatan terakhir mengenai loji nuklear tersebut pada sidang akhbar di Tokyo bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

“IAEA menyedari bahawa pelepasan terkawal dan beransur-ansur air terawat ke lautan seperti yang dirancang dan dinilai oleh pemilik loji tersebut, Tokyo Electric Power Company (Tepco)  akan memberi kesan radiologi tidak signifikan kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.

Dalam laporannya pada 2020, Tepco berkata, ia akan melepaskan air ke lautan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun namun, masih tidak dinyatakan bila proses tersebut akan bermula.

Lebih 1 juta tan metrik air, kebanyakannya digunakan untuk menyejukkan tiga reaktor amat panas di loji Fukushima telah disimpan di lokasi tersebut sejak kejadian tsunami pada Mac 2011. Peristiwa itu membawa kepada bencana nuklear terburuk di dunia selepas insiden Chernobyl, Ukraine berlaku pada 1986.

Sementara itu, bagi pelan pelepasan tersebut, air telah dirawat dengan sistem penapisan dan pengepaman yang dikenali sebagai sistem pemprosesan cecair termaju atau ALPS sehingga menghilangkan semua radioaktiviti kecuali tritium iaitu isotop hidrogen.

Grossi berkata, para pegawai IAEA akan hadir ke loji tersebut semasa fasa pelepasan air dan akan menyediakan pemantauan secara langsung menerusi laman webnya.

Rancangan Jepun untuk mengeluarkan air sisa terawat yang pertama kali diumumkan pada awal 2021 telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan alam sekitar, industri perikanan dan negara-negara jiran.

China secara lantang menentang apa yang disebutnya sebagai keputusan unilateral dan satu kesilapan, dengan kerajaan Jepun  didakwa bertindak demikian untuk meminimumkan kos ekonominya.

“Manusia perlu menghadapi risiko pencemaran nuklear yang berpunca dari Jepun,” kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning pada sidang akhbar minggu lalu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI