fbpx

70 penduduk Kampung Sempadan dikejutkan kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA APM membawa penduduk yang terjejas akibat kepala air ke pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Sempadan di Jerantut.

JERANTUT – Kira-kira 70 penduduk Kampung Sempadan di sini dikejutkan dengan kejadian kepala air di Sungai Sepan yang menyebabkan kediaman mereka ditenggelami air sedalam satu setengah meter awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyaksikan air Sungai Sepan secara tiba-tiba naik dengan pantas dan melimpah masuk ke kawasan kampung sehingga penduduk tidak dapat menyelamatkan harta benda.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian berlaku susulan hujan lebat yang bermula pukul 9 malam sehingga ke pukul 12.30 tengah malam semalam.

Katanya, semasa kejadian penduduk sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran apabila air melimpah ke dalam rumah.

“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Sepan terletak kira-kira 80 meter dari kediaman penduduk apabila air dari anak Sungai Relai dan anak Sungai Cheka bertembung dan masuk ke sungai tersebut.

“Saya dan ahli JPKK terus bertindak menyelamatkan mangsa yang masih terkandas di rumah untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) balai raya kampung ini ketika awal kejadian sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Jerantut datang membantu,” katanya di Kampung Sempadan di sini hari ini.

Menurut Samsuri, kampung tersebut kerap dilimpahi air Sungai Sepan dengan purata dua kali setahun dan kejadian hari ini amat mengejutkan kerana masing-masing penduduk tidak dapat menyelamatkan harta benda.

Seorang penduduk, Rosmaliza Mohamed Shah, 43, berkata, ketika kejadian dia sudah pun tidur dan tidak menyangka langsung hujan lebat lebih tiga jam mengundang banjir kilat yang berkemungkinan berpunca kepala air.

Seorang lagi penduduk, Lehan Yasak, 64, berkata, dia terjaga daripada tidur apabila menyentuh air di lantai bilik tidur sebelum sempat menyelamatkan tilam dan beberapa helai pakaian serta peralatan memasak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI