BANGKOK – Seorang warga emas di Thailand maut akibat ditikam cucu lelakinya selepas mangsa enggan memberikan wang sebanyak 100 baht (RM13.35) untuk membeli minyak petrol, lapor laman berita Thaiger semalam.
Anggota polis bersama empat pemeriksa perubatan bergegas ke lokasi kejadian di daerah Mueang Khon Kaen di mana mereka menemui mayat Pao, 79.
Bedah siasat mendapati mayat tersebut mempunyai beberapa kesan tikaman. Sebilah pisau dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh turut ditemui di singki dekat belakang rumah mangsa.
Polis juga menemui beberapa bahan bukti dari sebuah bilik berhampiran lokasi mayat Pao ditemui yang dipenuhi dengan perabot dan alkohol.
Suspek, Surawit, 28, sebelum itu menghilangkan diri dari lokasi kejadian sejurus selepas kes tersebut dilaporkan. Detektif dari balai polis tempatan kemudian menerima maklumat yang membawa mereka ke sebuah bangunan di pinggir bandar.
Mereka menemui suspek yang kelihatan mabuk dan cuba melarikan diri.
Ketika disoal siasat, Surawit memberitahu bahawa dia datang dari Bangkok untuk bekerja di Khon Kaen.
Dia mengaku berada dalam keadaan mabuk, dan apabila mendapati kenderaannya kehabisan minyak, dia meminta wang sebanyak 100 baht (RM13.35) daripada neneknya.
Oleh kerana tidak mendapat wang tersebut, Surawit menikam neneknya sebelum membuang mayat wanita itu di taman berdekatan rumahnya. – AGENSI