KUALA TERENGGANU – Jabatan Perikanan Terengganu telah memanggil seorang penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini untuk memberi keterangan berhubung penularan klip video yang memaparkan beliau menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang di sebatang sungai di negeri ini baru-baru ini.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, wakil rakyat tersebut telah hadir ke Pejabat Perikanan Negeri Terengganu di sini untuk memberi keterangan semalam.
“Kami telah menerima laporan berkaitan video tular itu pada Isnin lalu dan siasatan berhubung perkara tersebut telah dijalankan. Penyandang wakil rakyat itu juga telah dipanggil dan kini pihak jabatan sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baru-baru tular klip video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan penyandang ADUN tersebut sedang menangkap ikan di sebatang sungai di negeri ini menggunakan kaedah renjatan elektrik.
Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang. – KOSMO! ONLINE