SHAH ALAM – Masalah kesesakan teruk dihadapi lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari di sini, dijangka berkurangan menerusi pembinaan lorong tambahan baharu yang bakal siap hujung tahun ini.
Projek berdekatan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana selain kawasan perniagaan serta perumahan di Alam Budiman itu melibatkan pelebaran jalan bagi kedua-dua hala laluan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, projek menaik taraf melibatkan kos berjumlah RM3 juta itu mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sejak bulan lalu.
Katanya, isu kesesakan itu perlu segera diselesaikan berikutan laluan satu lorong sedia ada tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
“Justeru, projek fasa pertama melibatkan tambahan satu lorong segera dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan langkah jangka masa pendek itu diharap mampu mengurangkan kesesakan teruk di laluan lebih satu kilometer (km) tersebut,” katanya selepas meninjau projek itu, hari ini.
Kosmo! pada 26 Oktober tahun lalu melaporkan lebih 100,000 pengguna laluan itu memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak sejak dua minggu lalu.
Jelas Izham, fasa kedua turut akan dilaksanakan melibatkan pembinaan satu lagi lorong baharu di laluan tersebut kelak.
“Projek jangka masa panjang itu menelan kos RM20 juta itu bagaimanapun perlu ditanggung sepenuhnya oleh dua pemaju perumahan berkaitan. Laluan itu nanti akan menjadi tiga lorong sekali gus bakal menyelesaikan isu kesesakan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE