MELAKA – Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan separuh badannya hancur dipercayai terjatuh dari tingkat 41 sebuah hotel di bandar Melaka, tengah malam tadi.
Mangsa yang berusia 52 tahun ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 12.20 tengah malam di hadapan kawasan parkir lobi hotel sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, aduan dibuat seorang pemuda berusia 25 tahun dan sepasukan anggota dari Balai Polis Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi untuk pemeriksaan.
“Setiba di lokasi mangsa ditemui dalam keadaan tubuhnya dari paras pinggang ke kepala telah hancur dipercayai impak akibat jatuh daripada bangunan tinggi dan terdapat cebisan mayat di sekitar kawasan.
“Siasatan awal mendapati bangunan hotel tersebut mempunyai 42 tingkat dan kita percaya si mati jatuh daripada tingkat 41,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Ujarnya, seorang saksi yang juga pengangkat barang memaklumkan telah terdengar bunyi seperti letupan tayar sebelum ternampak si mati terjatuh dalam keadaan terlangkup.
“Apabila saksi berpusing, dia nampak si mati dalam keadaan terlangkup dengan separuh dari badan telah hancur dan terus menghubungi penyambut tetamu hotel serta talian 999.
“Menurut dua orang saksi warga Bangladesh, sebelum kejadian mereka ada ternampak si mati dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai mangsa telah terjatuh,” jelasnya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE