fbpx

Peserta kursus asas PGA meninggal dunia disyaki akibat strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2023 meninggal dunia hari ini dipercayai akibat strok haba.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu, Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisyam, 21, dikatakan rebah dan mengalami kekejangan secara tiba-tiba.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Muhamad Irfan dan peserta lain sedang mengikuti kelas dalam bangunan.

Komandan Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir berkata, Muhamad Irfan dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA, baharu sahaja tiga hari melapor diri sebagai peserta kursus pada Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat rakan Muhamad Irfan, lelaki terbabit dikatakan mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam tadi.

“Ketika mengikuti kelas, Muhamad Irfan mengadu kepada jurulatih yang kakinya sakit dan dia telah diminta duduk di atas kerusi.

“Bagaimanapun, ketika mahu bangun, peserta tersebut tiba-tiba rebah sebelum diserang sawan dan meracau. Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika di klinik, doktor bertugas telah beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun Muhamad Irfan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, berdasarkan daripada laporan awal doktor di klinik kesihatan tersebut, punca kematian lelaki itu adalah dipercayai akibat strok haba.

“Bagaimanapun, itu hanyalah laporan awal, punca kematian sebenar akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI