fbpx

Harimau Selatan terus mengganas belasah KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain JDT meraikan jaringan ketika menewaskan KL City 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati setelah strategi dengan memberi tekanan awal membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan empat gol pada babak pertama ketika menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.

Solari berkata, barisan pemain mengikut perancangan yang dite­rapkan dengan memberikan tekanan kepada pasukan lawan seawal minit pertama menggunakan stamina tinggi bagi mencari gol pembukaan.

“Kita tahu KL City mampu beraksi dengan baik di tempat lawan setelah menewaskan Kedah Darul Aman, Sri Pahang, Sabah dan Terengganu. Oleh itu, kita tidak boleh memberi ruang kepada pasukan lawan.

“Dengan meletakkan dua penyerang tengah, kita dapat mempelbagaikan bentuk serangan termasuk melakukan hantaran lintang ketika mereka berkampung di kawasan sendiri.

“Tekanan yang diberikan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil setelah mereka berjaya berada di kedudukan selesa apabila meledak empat gol pada babak pertama,” katanya.

Jelas Solari, kealpaan pemain pada babak kedua setelah berada di kedudukan selesa menyaksikan pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan dengan membuat jaringan berpunca dari­pada sepakan sudut.

Katanya, tempo permainan tinggi yang dipamerkan pada babak pertama tidak dapat dikekalkan pada babak kedua menyebabkan pemain hilang konsentrasi seketika dan membenarkan The City Boys mencipta jaringan.

“Pada babak kedua, pemain dilihat hilang tumpuan, saya percaya bukan mudah untuk mengekalkan rentak permainan seperti pada aksi separuh masa pertama. Setelah dibolosi, pemain cuba bangkit dan menggandakan serangan ke arah gawang lawan.

“Kita dapat lihat kesungguhan pemain yang cuba untuk bangkit dengan hampir 20 percubaan tepat ke arah gol lawan, ini membuktikan mereka telah berusaha sebaik mungkin untuk menambah jaringan. Saya cukup ber­puas hati dengan persembahan yang dipamerkan,” ujarnya.

Katanya, perlawanan tersebut turut membuka mata buat pasukan untuk memperbaiki kelemahan dari aspek ‘set piece’ yang membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Dalam pada itu, Solari turut memuji aksi kuda tua JDT, Diogo Luis Santo yang meledak hatrik pada perlawanan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI