BANGKOK – Seorang pemandu warga Kemboja ditahan oleh Polis Lebuh Raya Thailand semalam selepas memandu melalui plaza tol di daerah Bang Lamung, wilayah Chon Buri tanpa menjelaskan bayaran berjumlah lebih 70,000 baht (RM9,322), lapor laman berita Thaiger.
Tangkapan itu dibuat pada pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) yang diketuai oleh Pemangku Ketua Polis Lebuh Raya, Mejar Jeneral Jaroonkiat Pankaew.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dibuat untuk menambah baik aliran trafik di sepanjang Lebuh Raya 9 antara Bang Pa-in dan Bang Phli.
Pemandu kenderaan dibenarkan menggunakan jaringan tersebut walaupun tanpa akaun pembayaran M-Flow, namun diwajibkan membayar caj tertunggak dalam masa dua hari selepas menggunakan lebuh raya di Thailand.
Kenderaan pikap yang dikendalikan oleh pemandu bernama Term Nuo itu adalah antara 20 kenderaan teratas yang disenaraikan dalam senarai pesalah mengelak membayar tol.
Laporan menunjukkan kenderaan itu telah melalui saluran M-Flow sebanyak 266 kali tanpa bayaran, sekali gus mengumpul bayaran tertunggak sebanyak 71,580 baht (RM9,532) dalam caj tol yang belum dijelaskan, lapor akhbar Bangkok Post. – Agensi