BATU PAHAT – Kira-kira 80 orang petani di Kampung Kelicap dan Sungai Suluh di Tanjung Laboh di sini terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit selepas tanaman diusahakan ditenggelam air masin hampir sepanjang tahun.
Kejadian yang bermula sejak 2018 itu berpunca daripada benteng penahan air laut pecah selain tidak diselenggara dengan sempurna menyebabkan air masin masuk setiap kali air pasang.
Pesara kerajaan, Mazlan Ithnin, 58, berkata, tanaman yang diusahakan penduduk adalah kelapa mataq, tacunan dan pandan selain beberapa orang lagi mengusahakan tanaman kelapa sawit.
Katanya, perusahaan yang sudah dilakukan sejak 1976 sebelum mendapat geran hak milik tanah pada tahun 1980 ini pada mulanya boleh menghasilkan pendapatan RM150,000 setahun untuk setiap petani.
“Daripada sepanjang tiga kilometer benteng yang dibina untuk menahan air laut memasuki kebun ini, hanya kira-kira 300 meter sahaja menggunakan batu, namun selebihnya hanya menggunakan tanah sahaja.
“Akibat daripada itu, beberapa kawasan berlaku runtuhan pada benteng dan punca air laut masuk ke dalam kebun sebelum bertakung sepanjang hari,” katanya kepada pemberita di sini.
Kata Mazlan lagi, air laut yang memasuki kebun pula lambat untuk keluar akibat pintu air hanya satu, manakala terpaksa menunggu air Sungai Suluh kering baharu air dari dalam kebun boleh mengalir keluar.
Tambahnya, akibat daripada keadaan itu, tanaman yang diusahakan mati selain tidak boleh mengeluarkan hasil menyebabkan semua petani kehilangan hasil pendapatan.
Sementara itu, penduduk Kampung Kelicap, Nordin Daiman, 68, berkata, tanaman yang diusahakan penduduk seluas kira-kira 100 hektar dan turut ditanam tanaman kontan seperti pisang, betik dan jambu.
Dalam pada itu, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Batu Pahat, Anas Mohamed berkata, benteng sepanjang kira-kira empat kilometer itu sebenarnya dibina di atas tanah milik persendirian iaitu petani itu sendiri bukan di atas tanah rezab kerajaan.
Katanya, jadi sukar pihaknya untuk membina benteng kukuh dan ada hanya sementara. -KOSMO! ONLINE