PLATFORM media sosial kini digunakan secara meluas atas pelbagai tujuan, daripada mengeratkan silaturahim dengan saling berhubung dengan rakan-rakan sehinggalah menjadi medium mencari jodoh.
Baru-baru ini, platform TikTok digunakan dan menjadi pilihan orang ramai dalam mencari pasangan hidup melalui penstriman langsung atau sesi live yang akan dikelolakan oleh seorang host.
Daripada situ, mereka yang berminat boleh menyatakan ciri-ciri pasangan yang dikehendaki dan host akan menemu bual individu tersebut dengan bertanyakan soalan asas, sebelum membacakannya kepada semua pengikut yang menyertai sesi live tersebut.
Kaedah itu yang pada awalnya kedengaran janggal, kini semakin mendapat perhatian orang ramai sama ada dalam kalangan bujang mahu pun duda atau janda.
Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, mencari jodoh atau pun pasangan hidup menerusi media sosial sudah menjadi satu trend baharu memandangkan zaman ini merupakan zaman digital.
“Trend mencari jodoh menerusi media sosial ini adalah sesuatu yang baik dan ia merupakan salah satu alternatif baharu.
“Kaum wanita yang bekerjaya misalnya banyak menggunakan platform ini memandangkan mereka sibuk, adakalanya membataskan ruang dan peluang yang ada buat mereka untuk mencari pasangan hidup,” ujarnya.
Hushim berkata, bukan semua orang sesuai menggunakan platform tersebut memandangkan carian jodoh menerusi media sosial memerlukan seseorang itu untuk lebih bersikap terbuka atau pun mempunyai personaliti extrovert.
“Setiap daripada kita mempunyai personaliti berbeza, lazimnya mereka mencari jodoh menerusi media sosial adalah individu yang tidak kisah wajah mereka dipertontonkan dan kurang segan untuk mengiklankan diri di media sosial.
“Justeru, ia merupakan satu alternatif yang baik, namun mungkin kurang sesuai buat mereka yang pemalu,” katanya.
Begitu pun, dalam keghairahan mencari jodoh di media sosial, Hushim juga mengingatkan orang ramai supaya menyelidik dahulu latar belakang bakal pasangan bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.
Bagi wanita, sudah tentu memahukan lelaki yang berkemampuan dari segi zahir dan batin.
“Justeru, sebelum mengambil keputusan untuk berumahtangga, pastikan anda menyelidik dahulu sekiranya bakal pasangan itu mempunyai agenda tertentu untuk menikahi anda, sebagai contoh menyembunyikan status diri seorang homoseksual.
“Hal ini kerana, sebagai seorang kaunselor perkahwinan yang sudah pun mengendalikan banyak masalah rumah tangga, antara masalah menjurus kepada keruntuhan rumah tangga adalah apabila suami yang dinikahi itu lelaki gay,” ujarnya.
Tambah beliau, ketika berada dalam fasa percintaan, semua keburukan boleh disembunyikan dan apa sahaja sikap atau keperibadian sebenar pasangan tidak dipertontonkan, menyebabkan individu itu terlihat baik.
“Apabila sudah sehingga ke ikatan perkahwinan, diri sebenar pasangan itu akan keluar dan ketika itu, jika timbul masalah dalam rumah tangga, agak sukar untuk ‘patah balik’.
“Oleh itu, berhati-hatilah dalam mencari pasangan dan yang paling penting adalah sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan pasangan yang baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE