PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sudah memulakan siasatan teknikal susulan insiden helikopter terhempas di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, siasatan teknikal dilakukan berdasarkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex).
Beliau berkata, berdasarkan ICAO Annex 13, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.
“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan.
“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti (not to the purpose to apportion blame or liability),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pasukan penyiasat tersebut akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai.
Ka Siong berkata, dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11.50 pagi di Bukit Malawati, Kuala Lumpur itu membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9M-HCB), jenis G2CA.
“Dua helikopter ini yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama empat orang kru.
“Bagaimanapun, kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana sebuah helikopter telah terhempas dan sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati,” katanya.
Katanya, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat ini.
Jelasnya lagi, maklumat terbaharu yang diterima menyatakan bahawa dua orang maut dalam insiden itu manakala, dua lagi mangsa sedang menerima rawatan perubatan.-K! ONLINE