fbpx

Dua mati lemas di Air Terjun Junjung, Sungai Sedim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak perubatan sedang memeriksa seorang lelaki yang lemas ketika mandi di kawasan perkelahan air terjun di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjung, Kulim.

KULIM – Dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 18 tahun ditemui lemas dalam dua kejadian berasingan di kawasan perkelahan air terjun di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian pertama di Air Terjun Sungai Sedim melibatkan seorang remaja yang dikatakan sedang mandi bersama tiga rakannya di air terjun berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pukul 2.20 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui lemas ketika sedang mandi bersama tiga rakannya.

“Sebaik tiba di air terjun berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari, mereka mendapati ramai orang mandi di kawasan itu menyebabkan mereka memilih kawasan Lubuk Buluh yang mempunyai arus sangat deras.

“Ketika mandi, salah seorang rakan mereka tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya tetapi mangsa dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Redzuan berkata, orang ramai di situ turut membantu dalam mencari dan menyelamatkan mangsa dan mayat remaja itu ditemui di dasar sungai.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, seorang pemuda ditemui lemas selepas mandi di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjung, kira-kira pukul 2.43 petang.

Katanya, hasil temubual saksi memaklumkan mangsa tiba di pusat peranginan pada 2.10 petang dan lemas ketika mandi.

Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI