fbpx

Ladang udang mesra alam pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENNY (tengah) mewakili Sankina Aquaculture menerima sijil ASC di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Akuakultur di Sabah telah menjadi salah satu industri yang penting dalam membangunkan komuniti dan menjana pendapatan penduduk di negeri itu.

Antara industri akuakultur yang mendapat perhatian adalah perusahaan ladang udang di Tawau.

Ladang berkenaan telah mendapat pengiktirafan label eko peringkat global iaitu Aquaculture Stewardship Council (ASC). Pengiktirafan tersebut diperoleh pengusaha ladang udang, Sankina Aquaculture Sdn. Bhd. (Sankina Aquaculture).

Menurut Pengarah Urusan Sankina Aquaculture, Jenny Ou, menerima pensijilan ASC adalah peristiwa penting dalam perjalanan syarikatnya ke arah kemampanan atau kelestarian.

“Pihak kami berbesar hati dianugerahkan sijil ASC atas usaha berterusan ke arah kemampanan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

“Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen mendalam kami untuk memelihara bumi serta memastikan masa depan lebih cerah buat generasi akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, usaha tersebut bukanlah semata-mata daripada pihaknya, sebaliknya warga kerja dan pihak-pihak berkaitan turut memberi sokongan serta galakan berterusan.

Di Malaysia, penternakan udang secara tradisional bermula hampir satu abad lalu. Bagaimanapun, industri itu telah berkembang pesat dengan penubuhan penetasan benih udang pada akhir 1970-an hingga awal 1980-an.

Penternakan udang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) dan pekerjaan secara nasional.

Sabah merupakan pengeluar udang terbesar di Malaysia dengan mengeluarkan 7,837 tan metrik udang ‘vannamei’ pada 2021.

Penternakan udang telah mengakibatkan beberapa isu seperti penukaran bakau dan wabak penyakit.

Sankina Aquaculture yang ditubuhkan pada 2011 mengalami kerugian besar akibat wabak penyakit udang sekitar tahun 2016-2017.

Justeru, bagi meningkatkan lagi amalan hijau, Sankina Aquaculture dengan kerjasama WWF Malaysia telah melaksanakan Projek Penambahbaikan Akuakultur (AIP) pada 2019.

Pelaksanaan ladang udang yang mampan mampu memberi manfaat kepada semua pihak.

AIP disokong oleh Marina Bay Sands dan WWF Singapura untuk membantu ladang akuakultur mencapai pensijilan ASC serta memajukan kelestarian.

Kongsi Jenny lagi, melalui program itu, pihaknya menjalankan aktiviti pemulihan dan pemeliharaan di kawasan bakau bersebelahan ladangnya.

Ujarnya, ladang itu juga melaksanakan protokol ketat air sisa dirawat untuk menguruskan pencemaran, selain berusaha meningkatkan kebajikan pekerja.

“Hasil usaha pemeliharaan bakau, penampakan burung-burung yang berhijrah di sekeliling ladang telah meningkat.

“Langkah ini sejajar dengan program AIP yang turut mendapat sokongan Jabatan Perikanan Sabah.

“Ini membuka laluan kepada Sankina Aquaculture untuk dianugerahkan pensijilan ASC, sekali gus menjadi ladang udang pertama di Malaysia yang menerima eko label yang diiktiraf di peringkat global,” ujarnya.“

Sementara itu, Peneraju Global, Program Penambah Baik ASC, Roy van Daatselaar mengucapkan tahniah kepada Sankina Aquaculture.

Katanya, syarikat itu harus dipuji atas usaha berterusan mereka menjadi kuasa perubahan positif dan bertindak sebagai peneraju industri.

“Mendapatkan pensijilan ASC mencerminkan usaha besar Sankina Aquaculture untuk meningkatkan prestasi mereka berikutan penilaian yang ketat dalam piawaian ini.

“Kerjasama Sankina Aquaculture dan WWF Malaysia melalui AIP merupakan satu perubahan transformasi yang sangat diharapkan.

“Saya juga berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada ladang lain untuk turut sama menambah baik amalan sedia ada,” kongsinya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Kelestarian, Marina Bay Sands, Meridith Beaujean memberitahu, pihaknya turut berbangga atas pencapaian Sankina Aquaculture.

“Kami berbangga kerana menyokong Sankina Aquaculture dalam perjalanan kelestarian mereka dan mengucapkan tahniah kerana mencapai pensijilan ASC.

“Komitmen mereka terhadap amalan akuakultur yang bertanggungjawab dan pemeliharaan persekitaran harus dipuji.

“Ia sejajar dengan komitmen kami terhadap penternakan makanan laut yang bertanggungjawab bagi menawarkan hasil berkualiti kepada pelanggan tempatan dan serantau di Marina Bay Sands,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, WWF Malaysia, Sophia Lim berkata, pelaksanaan industri akuakultur yang mampan dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Apabila diuruskan secara bertanggungjawab, pembangunan akuakultur boleh berkembang maju tanpa mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar, terutamanya di kawasan hutan bakau yang terdedah di Malaysia.

“Kami berharap pensijilan ASC Sankina Aquaculture akan menjadi model untuk ladang akuakultur lain di Malaysia.

“Ia juga akan menjadi pemangkin ke arah kemampanan bagi industri akuakultur yang lebih luas di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI