PETALING JAYA – Sifat jujur seorang lelaki menyerahkan sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM18,000 yang dijumpainya ketika sedang bekerja di sebuah pusat beli-belah dipuji orang ramai.
Tindakan lelaki itu dikongsi di Facebook Delight Malaysia baru-baru ini.
Menurut hantaran tersebut, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ram Akawal Mandal merupakan kakitangan Aeon Delight di Wangsa Maju difahamkan telah menyerahkan beg tersebut yang tertinggal di dalam troli.
“Baru-baru ini kakitangan kami telah menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai sebanyak RM18,000 dan dokumen peribadi lain di dalam troli.
“Selepas beg itu diserahkan ke kaunter khidmat pelanggan, ia selamat dikembalikan kepada pemilik asal beg tersebut yang merupakan seorang wanita,” katanya.
Katanya, wanita tersebut telah datang untuk menuntut beg berkenaan dan amat berterima kasih kerana jumlah wang di dalam beg itu juga tidak berkurang.
Malah, wanita tersebut juga memuji sikap pekerja berkenaan dan meminta agar syarikat tersebut memberikan penghargaan terhadap lelaki itu.
“Sebagai tanda terima kasih atas sikap jujur dan amanah staf kami, pelanggan tersebut meminta agar syarikat memberikan penghargaan kepada Ram Akawal Mandal.
“Tahniah kepada Ram Akawal Manda, kami juga bangga dengan sikap integriti anda,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna memuji sikap lelaki itu.
“Masya-Allah jujur itu mahal. Semoga ramai lagi manusia seperti ini,” kata Fana.
“Bukan semua orang jujur dan amanah, maka kekalkan sifat itu,” kata Esra.
“Nasib baik orang yang jujur jumpa beg itu,” kata Nieda.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Ram Akawal Mandal dilihat diraikan dalam satu majlis makan tengah hari bersama pihak pengurusan Aeon Delight baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE