fbpx

Mahkamah: Bekas kerani wanita lega lepas, bebas tujuh pertuduhan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kerani wanita menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas tujuh pertuduhan memiliki dan mengedar dadah seberat lebih 500 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh Siti Aisah Noordin, 35, di akhir kes pendakwaan itu.

“Saya meneliti keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan mendapati bahawa kegagalan mereka (pendakwaan) untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi walaupun ditangkap bersama menyebabkan satu kelompangan dalam kes. Saya juga mengambil kira keterangan saksi pendakwaan lain berhubung maklumat serbuan kejadian.

“Dengan ini tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” kata hakim itu.

Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4 methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati.

Sementara bagi enam pertuduhan lain, dia didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamine seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), nimetazepam (1.1 gram), methamphetamine (16.86 gram) dan clozapine (90.98 gram).

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat antara tiga hingga sembilan kali.

Pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di sini, pada 20 April 2020 lalu.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam, Maanveer Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI