fbpx

Rumah ketua kampung ditembak lelaki tidak dikenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah yang ditembak oleh seorang lelaki di Kuala Gula, Bagan Serai hari ini. Foto oleh WAT KAMAL ABAS/KOSMO!

BAGAN SERAI – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bunyi letupan yang disangkakan mercun rupanya merupakan bunyi tembakan dilepaskan oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan pintu pagar rumahnya di Taman Muhibbah, Kuala Gula di sini kira-kira pukul 2.50 pagi tadi.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, sebaik mendengar bunyi tersebut, dia segera ke tingkap bilik tidurnya untuk melihat sekiranya terdapat individu yang bermain ‘mercun’ di luar rumahnya.

“Menerusi tingkap itu, saya nampak seorang lelaki yang memakai topeng muka di luar hadapan pintu pagar sambil memegang sepucuk pistol dan melepaskannya secara rambang ke arah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya, dia segera mengejutkan suaminya yang sedang tidur dan memberitahu tentang apa yang telah berlaku.

Ibu kepada empat orang anak itu menegaskan, dia bersama suaminya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa sebelum ini.

“Suami saya menternak kerang di Kuala Gula dan dia (suami) baharu sahaja dilantik sebagai ketua kampung di kawasan ini. Kami sekeluarga tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk pinjaman dengan ah long,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dari pemilik rumah berusia 56 tahun itu.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa yang tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa,” katanya.

Menurut Mohd. Yusri, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mendapati beberapa kesan tembakan telah dilepaskan.

“Dijumpai lima kelonsong peluru kaliber 9 milimeter (mm) di tempat kejadian. Hasil siasatan juga mendapati, suspek adalah seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI