PUTRAJAYA – Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, berisiko kepada kenaikan inflasi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau menjangkakan kenaikan itu tidak ketara kerana ia berlaku dalam keadaan trend inflasi yang semakin mereda sejak sembilan bulan lalu.
“Risiko (kenaikan inflasi) memang ada tetapi saya ingat semasa kerajaan membuat keputusan itu sebenarnya mereka telah menjalankan unjuran.
“Jadi ia berlaku dalam keadaan trend inflasi semakin mereda dan ia turun selama sembilan bulan berturut-turut dan inflasi sekarang untuk Mei adalah 2.8 peratus ialah paling rendah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Ujarnya, apa yang penting kini adalah kenaikan inflasi dapat ditampung oleh kenaikan gaji yang setimpal dengan nilai kerja.
Rafizi berkata, apa yang berlaku sekarang ini adalah kenaikan gaji tidak dapat menanggung kenaikan harga barang.
“Sebab itu, kenaikan gaji minimum itu dapat menyeimbangkan kenaikan inflasi. Sebagai kerajaan, kita ada kenaikan gaji menerusi pelaksanan gaji minimum,” katanya.
Katanya, kerajaan juga akan berusaha mengimbangi risiko kenaikan inflasi pada tahap lebih sihat iaitu sekitar dua peratus. – KOSMO! ONLINE