PETALING JAYA – “Saya cuma risau adakah tendangan masih sama ketika usia 18 tahun dahulu.”
Demikian reaksi pelakon terkenal, Faizal Hussein mengenai perkara yang menjadi kerisauannya sebagai anak seni yang sudah mencecah usia 56 tahun.
Katanya, tiada perkara yang hendak dikejar lagi ketika ini selain hanya mahu kekal sihat tanpa sebarang penyakit serius.
“Saya cuma fikir soal jaga kesihatan dan risau adakah masih mampu memberi tendangan seperti usia 18 tahun dahulu.
“Hanya sekadar risau tetapi setakat hari ini belum ada lagi yang tidak mampu saya lakukan (dalam lakonan),” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama W:Two Worlds baru-baru ini.
Meskipun usia hampir mencecah 60 tahun, Faizal masih mampu melakukan babak aksi tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.
“Pada usia sekarang, saya masih buat babak bertarung.
“Apabila produksi guna ‘stuntman’, saya akan persoal dan menjelaskan masih boleh melakukannya sendiri.
“Tanpa sedar perkara itu memberi bonus kepada drama lakonan sebab pelakon sendiri melakukan aksi tersebut,” jelasnya.
Faizal bagaimanapun mengakui badannya terasa sakit setiap kali melakonkan babak aski.
“Apabila pulang ke rumah, tiada siapa tahu saya tampal ‘koyok’ dan sapu minyak angin untuk redakan sakit badan.
“Namun, semua itu tetap memberi kepuasan buat saya sebagai seorang pelakon,” katanya lagi.
Selain Faizal, drama W: Two Worlds terbitan Viu Original itu turut dibintangi Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Mierul Aiman dan Elizabeth Tan. – KOSMO! ONLINE