PASIR PUTEH – Seorang lelaki maut selepas tersangkut di atas pokok tualang setinggi 24 meter semasa mencari madu lebah di Kampung Cabang Tungkat, Bukit Lapan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Che Hussin Hassan, 62, atau dikenali sebagai Hussin Leboh meninggal dunia sebelum sempat ke kawasan sarang lebah di pokok tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.09 petang tadi.
Menurutnya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Machang bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menurunkan mangsa.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersangkut di atas pokok tualang setinggi 24 meter dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba mengambil masa lebih enam jam sebelum dapat membawa turun mangsa kira-kira pukul 7.20 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Zainal memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa m diserahkan kepada pihak polis pada kira-kira pukul 8.12 malam untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE