fbpx

Liga Super: JDT tunjuk taring belasah KL City FC 6-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF AIMAN dikawal dua pertahanan KL City FC, Akram Mahinan dan Matko Zirdum l pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus buas mempamer taring setelah membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Dua jaringan dalam tempoh dua minit yang dijaringkan oleh Diogo Luis Santo dan Arif Aiman Hanapi ‘membunuh’ hasrat skuad The City Boys bagi mengejutkan pasukan tuan rumah yang belum pernah tewas bagi saingan liga musim ini.

Ketiadaan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan penggantungan pemain seperti Giancarlo Gallifuoco serta gandingan adik beradik, Ryan dan Declan Lambert merencat perancangan Bojan Hodak untuk mengekang kemaraan JDT.

Keampuhan benteng pertahanan KL City itu akhirnya roboh jua pada minit ke-12 apabila Diogo meledak gol pertama dengan membiaskan rembatan Velazquez menewaskan Azim Al Amin.

Belum sempat pasukan pelawat mengatur gerak, Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema setelah penyokong tuan rumah meraikan jaringan Arif Aiman seminit kemudian.

Diogo terus menjadi duri dalam daging buat pasukan The City Boys apabila menjaringkan gol kedua dengan mengatasi pemain pertahanan Kenny Pallraj Davaragi dan Kamal Azizi Mohamad Zabri bagi menanduk masuk hantaran silang Matthew Davies pada minit ke-35.

Sebelum tamat babak pertama, pemain berusia 36 tahun itu melengkapkan hatriknya apabila memanfaatkan umpanan Corbin Ong dengan melepaskan rembatan kaki kanan ke arah penjuru kanan gawang lawan menewaskan Azim Al Amin pada minit ke-44.

Tersentak dengan keputusan mengejutkan di babak pertama, Hodak terpaksa membawa masuk Paulo Josue yang tidak cergas sepenuhnya bersama Patrick Reichelt bagi menghidupkan jentera serangan KL City.

Kemasukan dua pemain itu yang menggantikan Kipre dan Giannelli sedikit sebanyak membantu memberi tonik buat pasukan pelawat untuk melancarkan serangan balas ke kubu lawan.

Hasilnya, pada minit ke-54, KL City berjaya merapatkan jurang gol setelah sepakan penjuru yang diambil Josue berjaya mencetuskan kekalutan dalam kotak penalti JDT sebelum Zirdum pantas menguis bola ke dalam gawang Harimau Selatan.

Jaringan tersebut dilihat mencetuskan kemarahan pasukan tuan rumah yang giat melakukan serangan balas untuk menambah derita buat pasukan pelawat.

Gol yang diburu skuad Harimau Selatan itu akhirnya muncul pada minit ke-86 hasil jaringan pemain gantian, Safiq Rahim yang mudah menewaskan Azim Al Amin untuk kembali menjarakkan kedudukan.

Sebelum perlawanan tamat, Akhyar mudah menyempurnakan hantaran Arif Aiman dengan melepaskan rembatan kencang menggegar gawang lawan bagi melengkapkan kenduri gol pada perlawanan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI