SAN SEBASTIAN, Sepanyol – Pasukan Cofidis menamatkan ‘sumpahan’ penantian 15 tahun mereka selepas Victor Lafay melakar kejutan dengan menewaskan pelumba elit untuk memenangi peringkat kedua Tour de France (TdF) semalam.
Pasukan Perancis tersebut tidak pernah melakar kemenangan peringkat perlumbaan sejak Sylvain Chavanel melakukannya dengan menjuarai peringkat ke-19 pada edisi 2008. Kemenangan tersebut membolehkan, Lafay berada di kedudukan keempat keseluruhan.
Pada saingan tersebut, Lafay melakukan kejutan mengatasi pelumba ternama dunia dari Belgium, Wout Van Aert yang mengakhiri saingan tempat kedua dan Tadej Pogacar tempat ketiga selepas melakukan kayuhan sejauh 209 kilometer (km).
Sementara itu, pelumba Britain, Adam Yates mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan dan pelumba UAE Team Emirates, Pogacar tangga kedua.
“Saya sangat gembira dapat melenyapkan sumpahan (tanpa gelaran selama 15 tahun) kepada pasukan sejak sekian lama.
“Apabila saya melakukan serangan, saya tidak menilai sama ada ia akan berjaya atau tidak. Kemudian saya melihat garisan penamat semakin hampir dan tenaga saya semakin kurang. Jika diikutkan kemenangan ini sama sekali tidak masuk akal.
“Tetapi saya percaya dengan kemampuan sepanjang perlumbaan ini. Saya harap kemenangan pada hari ini membantu melonjakkan semangat pasukan untuk memburu kemenangan pada peringkat seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Yates mengakui teruja dengan perlumbaan itu sekali gus tekad untuk bangkit memburu kemenangan pada peringkat seterusnya.
“Kami masih memiliki jersi kuning dan putih dan kami perlu mengekalkannya dengan cara itu. Pogacar meningkatkan tahap seluruh pasukan, dia pastinya hebat untuk bekerjasama,” kata Yates. – AGENSI