PELUANG jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi untuk menaiki podium pada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand minggu depan semakin cerah apabila bakal ditemani jurulatihnya, Ken Harnden.
Kehadiran Harnden, 50 pastinya membakar semangat Azeem, 19, untuk mencipta kejutan meraih pingat emas pertama dalam sejarah Malaysia bagi acara 100m pada kejohanan tersebut yang akan bermula 12 hingga 16 Julai ini.
Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan, pihaknya akan menerbangkan jurulatih pecut Universiti Auburn itu dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) ke Pattaya untuk menemani Azeem.
“Harnden terus ke Pattaya pada 9 Julai, manakala Azeem pula akan tiba bersama atlet-atlet olahraga negara yang lain pada 10 Julai.
“Ini sememangnya perancangan yang sudah disusun sebelum ini untuk Azeem. Kami berharap dengan kehadiran jurulatihnya dari AS dapat membantu Azeem meraih keputusan positif pada Kejohanan Asia nanti,” katanya.
Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan itu dengan masa 10.09 saat (s) itu menunjukkan peningkatan prestasi yang begitu konsisten sejak berguru di bawah Harnden yang pernah meraih gangsa Sukan Komanwel 1998.
Kehadiran Olimpian dari Zimbabwe itu semestinya mampu ‘menolak’ Azeem merakam masa 10.00s untuk layak merit ke Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary pada Ogos depan dan Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain acara 100m, atlet dari Teluk Intan, Perak itu juga akan bersama kuartet 4x100m dianggotai Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa pada saingan di Pattaya nanti.