fbpx

Disebalik isu kerosakan teknikal, Menara Taming Sari terus dikunjungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURSYAIRAH bersama tiga ahli keluarga termasuk ibunya merakamkan gambar kenangan selepas menaiki Menara Taming Sari di Bandar Hilir bagi melihat keindahan bandar Melaka pada ketinggian 110 meter.

MELAKA – Insiden pelantar Menara Taming Sari di Bandar Hilir di sini tersangkut sehingga menyebabkan 36 individu terkandas pada ketinggian 60 meter kelmarin tidak menjejaskan operasi apabila menara ikonik Melaka itu terus dikunjungi pengunjung.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati pengunjung tidak terkesan dengan insiden hampir satu jam berkenaan dan produk pelancongan negeri itu masih membawa kira-kira 60 penum­pang daripada pelbagai peringkat usia untuk setiap trip selama tujuh minit.

Seorang pengunjung, Siti Nursyairah Ali Husni, 22, berkata, dia sedia maklum dengan insiden (pelantar tersangkut) menerusi aplikasi TikTok, namun tetap berasa yakin dengan jaminan keselamatan oleh pihak pengurusan.

“Saya maklumkan insiden itu kepada empat ahli keluarga yang lain, namun mereka tetap mahu merasai pengalaman menaiki menara itu kerana yakin kerosakan itu telah dibaik pulih.

Selain itu kami tidak mahu melepaskan peluang melihat keindahan ­Melaka dari ketinggian 110 meter,” katanya yang datang dari Kulim, Kedah.

Tambah Siti Nursyairah, dia termasuk ibu dan dua adik tidak berasa gementar atau gemuruh ketika berada di puncak menara meskipun ia adalah pengalaman pertama mereka menaiki menara tinjau berkenaan.

Orang ramai terus mengunjungi Menara Taming Sari, Bandar Hilir semalam.

Seorang lagi pengunjung dari Setapak, Kuala Lumpur, Rokiah Mat Saad, 36, memberitahu, dia bersama suami dan empat anaknya sangat teruja untuk menaiki menara tinjau tersebut dan telah datang meninjau keadaan pada malam kelmarin.

“Malam tadi (kelmarin) kami sekeluarga sudah ke sini untuk naik tetapi kaunter tutup kerana ia sedang diselenggara. Jadi, pagi ini kami datang semula untuk mencubanya selepas melihat platform itu telah beroperasi, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan, seramai 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam pelantar Menara Taming Sari pada ketinggian 60 meter kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

Bagaimanapun, kesemua mang­sa yang terdiri daripada 26 dewasa, lapan kanak-kanak, seorang warga emas dan seorang orang kelainan upaya (OKU) berjaya diturunkan dengan selamat.

SEBAHAGIAN pengunjung tidak melepaskan peluang menaiki Menara Taming Sari semalam.

Salah seorang mangsa insiden berkenaan, Zuliani Zulkeple, 42, memberitahu, suasana panik mula menyelubungi pengunjung yang terkandas selepas bebe­rapa individu mengalami sesak nafas dipercayai akibat kekurangan bekalan oksigen.

Kata jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah itu, ada antara mangsa yang terpaksa duduk berdekatan pintu bagi mendapatkan udara yang masuk di celahan ruang susulan pelantar itu tidak mempunyai tingkap.

“Keluarga saya juga mula ­panik apabila bekalan oksigen terasa semakin terhad, apatah lagi kami membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi setahun enam bulan.

“Hampir satu jam juga kami terkandas sementara menunggu pasukan teknikal memanjat naik untuk menggerakkan platform berkenaan turun secara manual,” katanya.

Berita berkaitan: Ada yang sesak nafas ketika tersangkut atas Menara Taming Sari

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Menara Taming Sari Berhad, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, kerja-kerja baik pulih itu telah dilakukan sejurus kesemua penumpang ­diselamatkan pasukan teknikal dan bomba pada pukul 6.30 petang kelmarin.

“Kita juga telah menjalankan ujian kebolehkerjaan bagi memastikan insiden yang berlaku pada petang semalam tidak berulang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI